RSS

Keredhaan Yang Dicari - Episod kedua

Ketika sedang cuba melawan godaan, Ustaz itu terdengar hasutan-hasutan yang bisa meruntuhkan tiang-tiang  iman dan taqwa.


"Bilakah lagi kau akan merasa nikmat seperti ini? Mangsa sudah ada di depan mata. Jangan ditunggu lagi masa yang akan datang. Setiap muslim yang disumbatkan ke dalam neraka akan masuk syurga juga di akhirat nanti, jadi apa yang kau takutkan. Tiada apa yang perlu kau takutkan. Tiada siapa yang tahu perbuatan kau ini. Jangan bodoh."

Itulah antara hasutan-hasutan yang membisik di telinga Ustaz. "Ya, benar apa yang dikatakan itu. Aku tidak harus melepaskan peluang yang datang ini. Mungkin aku bukanlah manusia yang sempurna untuk menasihati manusia lain. Apa salahnya jika aku ingin merasainya sekali."

Sedang Ustaz itu cuba untuk membalas perbuatan wanita itu, maka terdengarlah bisikan-bisikan yang datang entah dari mana.

"Wahai si fulan, janganlah engkau melakukan sedemikian. Kerana akulah yang akan menjadi saksi di atas setiap perbuatanmu ini di akhirat kelak. Dan setiap yang kau lakukan akan dipertontonkan di akhirat kelak meskipun ianya baik atau buruk."

"Wahai si fulan, aku ini kaki mu. Tadi engkau datang dengan niat untuk berdakwah dan ingin membawa wanita ini pulang ke jalan Islam. Tapi mengapakah kini kau yang menjadi mangsanya. Sudahkah kau lupa dengan apa yang kau hajatkan. Dan sudahkah kau lupa dengan janji-janji Allah setiap perkara yang kau lakukan. Jika tadi kau melangkah dengan niat untuk berdakwah, maka pahala dan keredhaanNyalah yang kau peroleh. Tapi kini kau berdiri kerana untuk berbuat maksiat, maka sepanjang kau berdiri itulah dosamu. Jadi, beruntungkah kau jika melakukan sedemikian."

"Wahai si fulan, aku ini hatimu. Jika tadi aku kelihatan suci bersih, tapi kini aku sudah mula memiliki tompok-tompok hitam. Apakah kau suka aku memiliki tompok-tompok ini? Jika aku rosak, maka rosaklah seluruh anggota yang lain. Jika aku bersih, maka terpeliharalah setiap anggotamu daripada berbuat kejahatan. Wahai si fulan, aku ingin kelihatan cantik dan suci agar kau dapat ditempatkan di sisi hambaNya yang diredhai. Maka masihkah kau ingin melakukan sedemikian."

"Wahai si fulan, aku ini kemaluanmu. Aku dikurniakan untuk berbakti kepada kau. Jika kau berbuat sedemikian, maka aku terpaksa akur. Tapi puaskah kau dengan apa yang kau lakukan itu? Aku dikurniakan bukan untuk kau guna sebagai alat untuk bersenang-lenang, tapi tugasku adalah untuk berbakti dan memberi nafkah kepada isteri dan yang halal bagimu. Maka haruskah kau gunakan aku untuk perkara sedemikian? Tidakkah kau kasihan akan wanita yang bakal menjadi isterimu. Sesungguhnya wanita itulah yang selayaknya menikmati aku dan bukan wanita ini."



*Apakah yang akan dilakukan Ustaz itu. Berjayakah dia memperjuangkan matlamatnya. Atau leka dengan nikmat nafsu. Ikutilah kisah seterusnya yang penuh kisah-kisah tauladan dan ilmu yang bermanfaat. InsyaAllah..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment