RSS

HUKUM PENGGUGURAN JANIN DALAM ISLAM DAN KESANNYA MENGIKUT PERUBATAN ISLAM

KERTAKERJA: 

HUKUM PENGGUGURAN JANIN DALAM ISLAM DAN KESANNYA MENGIKUT PERUBATAN ISLAM
                                            Penulis: Ibn Hassan

            OBJEKTIF

            Tujuan dihasilkan kertas kerja ini adalah untuk memberi penerangan yang lebih jelas tentang hukum pengguguran janin mengikut syariat islam berdasarkan al-Quran, hadis dan perbahasan para ulama’ dari mazhab Hanafi, Syafie’ dan Hambali serta berdasarkan perbahasan dari para fuqaha’ dan perubatan. Diharapkan para pembaca jelas dengan hukum sebenar tentang pengguguran janin. Sesungguhnya dalam hal yang berkaitan agama ini, kita tidak boleh sebarangan mengeluarkan hukum kerana ditakuti akan menyebabkan hukum kita keluarkan itu bertentangan dengan hukum yang telah Allah swt tetapkan. Oleh sebab itulah, perlu diperbanyakkan lagi kajian seperti untuk kes-kes yang berlainan.

PENGGUGURAN KANDUNGAN

            Hukum menggugurkan kandungan tidak disebut secara terus dari al-Quran dan hadis Nabi saw. Apa yang ditekankan ialah tentang haramnya membunuh nyawa dengan cara yang salah. Bermula di sinilah para fuqaha’ telah berbeza pendapat tentang hokum menggugurkan kandungan seperti yang dibincangkan pada masa kini.

DEFINISI PENGGUGURAN JANIN

            Pengguguran janin ialah mengeluarkan kandungan dari Rahim sebelum tiba tempoh bersalin dengan bertujuan untuk membuang atau mematikan kandungan. Adapun dasar pembahasan ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya seseorang dari kamu dikumpulkan penciptaanya di dalam perut ibunya selama 40 hari. Setelah genap 40 hari kedua, terbentuklah segumpal darah beku. Ketika genap 40 hari ketiga, berubahlah menjadi segumpal daging. Kemudian Allah mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh, serta memerintahkan untuk menulis 4 perkara, iaitu penentuan rezeki, waktu kematian, amal, serta nasibnya baik yang celaka, mahupun yang bahagia.”
                                                                                                                        (Bukhari dan Muslim)




HUKUM PENGGUGURAN JANIN

            Hukum pengguguran janin adalah mengikut status janin. Terdapat dua kategori janin iaitu janin sebelum peniupan roh dan janin selepas peniupan roh.

1.      Pengguguran janin sebelum peniupan roh.

Dalam hal ini, para ulama’ berselisih tentang hukumnya dan terbahagi kepada 3 pendapat:

Pendapat pertama:

Menggugurkan janin sebelum peniupan roh hukumnya boleh. Bahkan sebahagian ulama membolehkan menggugurkan janin tersebut dengan ubat.(Hasyiat al-Qalyubi: 3/159)  Pendapat ini dianut oleh para ulama dari mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hambali. Tetapi kebolehan ini disyaratkan dengan adanya izin dari kedua orang tuanya. (Syareh Fathul Qadir: 2/495 Adapun dalilnya adalah hadis Ibn Mas’ud di atas menunjukkan bahawa sebelum 4 bulan, roh belum ditiup ke janin dan penciptaan belum sempurna, serta dianggap benda yang tidak bernyawa sehingga boleh digugurkan.)




Pendapat kedua:

Menggugurkan janin sebelum peniupan roh adalah makruh hukumnya. Dan jika sampai pada waktu peniupan roh, maka hukumnya menjadi haram. Dalilnya bahawa waktu peniupan roh tidak diketahui bila akan berlaku secara pasti, maka tidak dibenarkan menggugurkan janin jika sudah mendekati waktu peniupan roh. Ianya bertujuan supaya kita berhati-hati. Pendapat ini dianut sebahagian ulama’ mazhab Hanafi dan imam Romli salah seorang ulama’ dari mazhab Syafi’e. (Hasyiyah Ibnu Abidin: 6/591, Nihayatul Muhtaj: 7/416)


Pendapat ketiga:

Menggugurkan janin sebelum peniupan roh hukumnya adalah haram. Dalilnya bahawa air mani telah tertanam dalam rahim dan telah bercampur dengan ovum wanita sehingga bersedia untuk dihidupkan. Maka dengan merosakkan pertumbuhan ini adalah tindakan jahat. Pendapat ini dianut oleh Ahmad Dardir, Imam Ghozali dan Ibn Jauzi. (Syareh Kabir: 2/267, Ihya Ulumudin: 2/53, Inshaf: 1/386)

Status janin yang gugur sebelum ditiupkan roh telah dianggap benda mati dan tidak perlu dimandikan, dikafankan dan disolati. Sehingga dalam fasa ini dikatakan pembunuhan dan dianggap merosakkan sesuatu yang bermanfaat.


2.      Menggugurkan janin setelah peniupan roh.

Secara umum ulama’ telah sepakat bahawa menggugurkan janin setelah peniupan roh adalah haram. Peniupan roh terjadi ketika janin berusia 4 bulan dalam kandungan ibu. Ketentuan ini berdasarkan hadis Mas’ud di atas. Janin yang telah ditiupkan roh didalamnya secara automatik sudah menjadi manusia sehingga haram untuk dibunuh. Hukumnya haram apabila seseorang itu melakukannya tanpa sebab yang munasabah ataupun darurat.

Tetapi jika terdapat sebab-sebab yang darurat, misalnya jika janin yang dikandung itu akan membahayakan ibu yang mengandung tersebut, maka dalam hal ini para ulama’ berbeza pendapat.

Pendapat pertama: Ulama’ menyatakan pengguguran janin selepas peniupan roh tetap haram walaupun janin tersebut ketika lahir akan membahayakan ibu yang mengandungnya. Pendapat ini dianut oleh ulama’ Mayoritas. Dalilnya ialah dengan firman Allah swt:

Ertinya: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar.”
                                                                                                (Surah al-Israa’: ayat 33)

Ulama’ ini mengatakan kematian seseorang ibu itu adalah sesuatu yang diragukan kematian. Maka dengan ini tidak boleh membunuh janin dengan sebab sesuatu yang diragukan (Hasyiyah Ibnu Abidin: 1/602).
Selain itu, mereka dari golongan ulama’ ini memberi perumpamaan jika berlakunya sebuah perahu yang akan tenggelam dan penumpang lain akan selamat jika sebahagian dari mereka itu dilemparkan ke laut, walaupun ianya untuk menyelamatkan nyawa yang lain maka ia tetap tidak dibolehkan. *(diterjemah dari ayat yang asal agar tidak memberi sebarang kekeliruan)


Pendapat kedua:

Dibolehkan menggugurkan janin walaupun sudah berlakunya peniupan roh seandainya itu sahaja yang dapat menyelamatkan nyawa ibu yang mengandung. Hal ini kerana menyelamatkan nyawa ibu yang dikandung itu lebih utama dari menyelamatkan janin yang dikandung. Hal ini juga disebabkan kehidupan ibu adalah sesuatu yang tidak diragukan dan wujud dengan yakin, sedangkan kehidupan janin belum yakin dan keberadaanya terakhir (Mausu’ah Fiqhiyah: 2/57). Peramalan ibu dan janin itu boleh dilakukan dengan ilmu perubatan, walaupun hal itu tidak mutlak.


Resolusi Fiqh (Bilakah Permulaan Hidup Seorang Manusia)

1.      Permulaan hidup manusia berlaku sebaik sahaja persenyawaan benih lelaki dan perempuan terjadi.
2.      Sebaik sahaja terbentuk kandungan dalam rahim perempuan, maka kandungan itu wajib dihormati dan mempunyai hak-hak yang ditetapkan oleh syarak.
3.      Apabila kandungan sampai ke peringkat peniupan roh, kehormatan kandungan bertambah tinggi.

Garis panduan pengguguran janin

Para fuqaha’ telah menetapkan beberapa garis panduan bagi membolehkan pengguguran janin akibat dirogol. Antara garis panduannya ialah:

Ø  Pengguguran dilakukan sebaik sahaja kehamilan dikesan.
Ø  Janin berusia kurang daripada 120 hari.
Ø  Teknik penggugguran tidak memudharatkan si ibu.
Ø  Permohonan si ibu daripada jabatan rasmi yang bertanggungjawab berkenaan kes rogol bagi memastikan jenayah rogol tersebut benar-benar berlaku, memastikan keberkesanan teknik pengguguran dan menjejak si penjenayah.
Ø  Hanya hospital-hospital tertentu sahaja yang dibenarkan menjalankan proses pengguguran kandungan.
Ø  Alasan untuk menggugurkan kandungan itu hendaklah diteliti oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar perubatan dan fiqh.




Hukum menggugurkan janin kerana berzina

Para fuqaha’ telah berbeza pendapat berkenaan masalah di atas kepada dua pendapat.
Pendapat pertama:
Tidak mengharuskan pengguguran akibat zina bertujuan menutup pintu perzinaan dan juga berdasarkan hadis nabi S.A.W berkenaan al-Ghamidiyyah.
Pendapat kedua:
Harus digugurkan kandungan tersebut dengan alasan untuk mengelakkan berlaku kekeliruan dalam keturunan.

Konklusi

Sebagai masyarakat yang menetap di Malaysia, kita dinasihat supaya menjadikan pendapat dari mazhab Syafi’e sebagai panduan. Ini kerana, ramai umat Islam yang menganut mazhab Syafi’e.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 comments:

Atiqah said...

apa cadangan penulis untuk atasi masalah pengguguran dan buang bayi yg ibaratnya seperti cendawan tumbuh selepas hujan kat malaysia ni???

Ibn Hassan said...

InsyaAllah akan diusulkan dalam kertas kerja yang akan datang...

Post a Comment