RSS

Apa Itu Cinta?

Cinta adalah kekuatan,
Yang mampu mengubah duri menjadi mawar,
Mengubah cuka menjadi anggur,
Mengubah sedih menjadi riang,
Mengubah amarah menjadi ramah,
Mengubah musibah menjadi muhibbah,
Itulah cinta…..

Sekalipun cinta telah kuuraikan,
Dan ku jelaskan panjang lebar,
Namun jika cinta kudatangi,
Aku jadi malu pada keterangan ku sendiri…
Meskipun lidahku telah mampu menguraikan,
Namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang…
Sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya…
Kata-kata pecah berkeping-keping begitu sampai kepada cinta…
Dalam menguraikan cinta,
Akal terbaring tidak terdaya,
Bagaikan keldai terbaring dalam lumpur…
Cinta sendirilah yang menerangkan cinta dan percintaan…
(Dipetik daripada Puisi Ketika Cinta Bertasbih)

Cubalah kita hayati puisi di atas ini. Sebagaimana yang ingin disampaikan oleh pemuisi, cinta bagi beliau sangat mendalam. Dan sudah tentu cinta yang dimaksudkan adalah cinta yang diredhai oleh Rabb. Berapa ramaikah yang berjaya memahami apa itu ertinya cinta. Terdapat pelbagai definisi tentang cinta oleh remaja sekarang. Namun, sejauh mana pemahaman mereka dalam mengejar dan mencari erti sebuah cinta. Bukan mudah untuk mendapatkan yang sebenarnya cinta, dan tidak susah untuk mendapatkan cinta yang diselubungi nafsu. Jangan sesekali bercinta jika ia dimulakan dengan permulaan yang dilarang dalam Islam.

Untuk mendefinisikan cinta sangatlah rumit, kerana ia tidak dijangkau dengan kata-kata. Ibnu Qayyum mengatakn: “Cinta tidak boleh didefinasikan dengan jelas, bahkan bila didefinasikan tidak menghasilkan (sesuatu) melainkan menambah kabur dan tidak jelas, (bererti) definasinya adalah adanya cinta itu sendiri.” (Madarajus Salikin, 3/9).
Cinta adalah amalan hati yang akan terwujud dalam amalan lahiriah. Jika cinta yang dimiliki itu sesuai dengan kehendak syarak dan sesuai dengan keredhaan Allah s.w.t. serta disulami dengan sutera-sutera keimanan dan keikhlasan, maka ianya akan menjadi ibadah. Tetapi jika cinta yang dimiliki itu berlaku sebaliknya, malah disulami dengan pula dengan benang-benang zina, maka cinta itu adalah dilarang dan menjadi cinta maksiat. Di sini jelaslah menunjukkan cinta itu ibadat hati dan berkasih sayang antara satu sama lain adalah digalakkan terutama dalam membina ukhuwah, jika berlaku sebaliknya ia boleh menyebabkan syirik.

Apa sebenarnya cinta? Jika benar yang diungkapkan itu cinta, apa buktinya?



Inikah cinta? Jika benar ini cinta, adakah ianya dihalalkan dalam Islam? Antara maksud cinta ialah berkasih sayang. Inikah tanda remaja mencurahkan rasa cinta mereka? Atau inikah dinamakan pengorbanan? Terlalu banyak persoalan yang bermain-main dibenak penulis pada masa ini. Siapakah yang mampu menjawab semua soalan ini. Sudah tentu mereka yang benar-benar mengerti apa itu cinta. Apabila diperkatakan pada zaman ini cinta itu haram sebelum berkahwin, maka ramai remaja akan memberontak yang memberi seribu alasan untuk mempertahankan cinta mereka. Jika cinta yang dipertahankan itu satu ibadah tidak mengapa, tetapi bagaimana pula jika cinta yang dipertahankan itu adalah cinta maksiat. Apakah ianya harus dipertahankan?
Jangan mengaku ianya cinta jika tersembunyi disebaliknya sifat-sifat keji. Seharusnya seseorang itu memahami apa itu konsep berkasih sayang dalam Islam sebelum ia melangkahkan kaki ke lembah yang penuh dengan onak dan duri. Ramai yang terlalu yakin dengan cinta yang mereka miliki itu adalah cinta yang halal. Dan disebabkan perasaan inilah mereka gagal mencari matlamat sebenar dalam berkasih sayang. Berdasarkan gambar diatas, adakah ianya contoh yang terbaik sebagai cinta yang diredhai? Ataukah ianya dipanggil pengorbanan demi mendapatkan kebahagiaan yang kekal? Gambar tersebut tidaklah melambangkan apa-apa melainkan mencemarkan maruah keluarga, bangsa dan negara serta yang paling penting mendapat kemurkaan Yang Esa.


Apa yang kita faham dengan perkataan berkasih sayang? Adakah cukup sekadar dengan kata-kata? Atau diluahkan dengan memberi ciuman setiap hari? Atau dengan dengan pelukan yang erat? Atau tahap yang paling tinggi dengan menyerahkan maruah dan harga diri pada insan yang mengaku cinta kepada kita? Jika semua itu berlandaskan dan telah pun halal di sisi syarak, maka lakukanlah yang sedemikian rupa atau perbanyakkan lagi agar kasih sayang terus mekar antara suami dan isteri asalkan kita tidak menyamakan antara cinta kepada Allah dengan cinta kepada manusia. Jika tidak maka cinta itu dianggap syirik. Tetapi bagaimana pula jika sebaliknya, adakah itu dinamakan cinta yang suci? Ya, benar itulah cinta yang suci, tapi suci di mata syaitan dan hina di sisi Allah dan Islam. Berkasih sayang itu lebih selamat jika diamalkan selepas diijab kabulkan, kerana selepas itu tiada batasan dan halangan untuk kita membuktikan apa itu cinta. Ingatlah, syaitan akan menangis setiap kali anak adam diijab kabulkan. Sebagai manusia yang mempunyai akal dan fikiran, yang manakah akan menjadi pilihan kita sama ada cinta yang kita miliki membuatkan syaitan tertawa atau menangis? Cinta itu satu perasaan yang suci, maka janganlah dinodai dengan perkara-perkara hina lagi keji.
Cinta itu ibarat kain putih yang sedia menanti ingin dicorakkan oleh pemiliknya. Maka dengan itu warna apakah yang ingin kita corakkan pada kain itu, warna pelangi (mewakili cinta yang diredhai Allah) atau warna hitam (mewakili cinta yang berlandaskan nafsu)? Setiap insan ingin memiliki sesuatu yang indah dipandangan sendiri dan di sisi Allah. Maka coraklah kain itu dengan warna pelangi, agar kesuciannya akan sentiasa terpelihara sesuai dengan kehendakNya. Kita sebagai hamba yang lemah hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. kerana sesungguhnya Allah s.w.t. suka pada hambanya yang selalu memohon kepadaNya. Perbanyakkanlah zikir kepadaNya. Terdapat banyak doa-doa yang boleh diamalkan untuk menjauhkan diri daripada melakukan maksiat. Antaranya:





Allah telah menciptakan 3 golongan umat di muka bumi ini: yang pertama golongan yang sentiasa berjaya mengawal nafsu (orang-orang yang soleh dan solehah); yang kedua golongan yang ada kalanya berjaya mengawal nafsu dan ada kalanya gagal tetapi sentiasa bertaubat kepadaNya; yang ketiga golongan yang sentiasa lalai dan gagal mengawal nafsu mereka. Sebaik-baik golongan adalah golongan yang ada kalanya berjaya mengawal nafsu dan sebaliknya dan sentiasa memohon keampunan kepadaNya.

Janganlah sesekali kita berputus asa untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan walaupun adakalanya taubat itu tidak memberi sebarang kesan kerana sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu akan terjadinya sesuatu perkara itu. Allah s.w.t. berfirman dalam surah An-Nisaa’:





Sesungguhnya orang yang tidak bertaubat itu lebih hina di sisi Allah. Allah s.w.t. telah pun menyediakan kemudahan kepada hambaNya untuk memohon keampunan tapi mengapa masih ada yang leka dan tetap dengan pendirian yang kolot. Sama-samalah kita memohon semoga Allah menjadikan kita antara hamba yang sentiasa bersyukur.




Allah s.w.t. telah menyediakan azab yang lebih teruk untuk hambaNya yang tidak tahu bersyukur dengan apa yang telah diberikanNya termasuklah peluang untuk bertaubat.
Jika hari ini kita sedar betapa bahayanya cinta yang berlandaskan nafsu. Pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku dalam sekelip mata. Semua itu hanyalah tipu daya syaitan yang ingin menyesatkan umat Islam. Jika diperhatikan dengan persekitaran sekeliling, semakin hari semakin banyak berlakunya masalah sosial. Apabila direnungkan kembali, kita dapat lihat semuanya berpunca dari pasangan yang bercinta bertakhtakan syahwat. Tidak cukup sekadar berdua-duaan di tempat-tempat sunyi, berpeluk-pelukkan dan bercium-ciuman, ada pula yang sanggup menggadaikan maruah dengan alasan untuk membuktikan bahawa mereka saling sayang menyayangi dan cinta mereka akan kekal hingga ke akhir hayat. Di mana jaminan kepada apa yang mereka impikan itu? Qada’ dan qadar adalah ketentuan Allah, sebagai hamba kita tidak layak untuk menentukan apa yang bakal berlaku.



Daripada gambar di atas kita boleh lihat betapa murahnya harga diri wanita tersebut. Dimanakah nasib kamu wahai kaum hawa jika satu hari nanti si perosak ini memungkiri janji mereka? Dimanakah tempat untuk kamu luahkan segalanya? Sanggupkah kamu pulang ke rumah dan memberitahu kepada keluarga tentang apa yang berlaku? Dapatkah kamu kembalikan mahkota yang telah kamu jual kepada si pembuas? Ingatlah walaupun wanita itu diciptakan dengan memiliki 9 nafsu, tetapi ia tidak menandingi 1 nafsu lelaki. Jika hari ini si lelaki sudah berani meminta apa yang dilarang, maka janganlah diteruskan perhubungan itu. Mencegah itu lebih baik dari memulih. Andai kata kaum hawa terus leka dengan godaan dan pujuk rayu si perakus, maka tidak hairanlah masalah sosial akan terus bertambah.




Dimanakah nasib bayi tersebut? Siapakah yang ingin menjadi pembelanya? Dimanakah hak bayi tersebut untuk hidup di muka bumi ini? Ingatlah wahai saudara, kita bukannya tuhan yang boleh menentukkan hidup atau matinya seseorang. Malah kita adalah hambaNya yang serba kekurangan. Seksaan untuk orang melakukan kezaliman tersebut sangatlah pedih. Dan taubat nasuha adalah jalan yang paling terbaik untuk menjauhkan diri dari seksa api neraka. Tapi, sejauh mana remaja sekarang ingin bertaubat kepadaNya? Masih adakah sisa-sisa keinsafan dalam diri mereka? Jika ditanya pada mereka yang benar-benar takut kepada seksaan Allah, maka positiflah jawapannya. Tetapi jika ditanya pada mereka yang sengaja membutakan mata, maka negatiflah jawabannya. Lihatlah gambar di bawah ini.




Apa masih tidak adakah sifat belas kasihan anda terhadap anak kecil ini. Di mana sifat perikemanusian anda semua. Sanggupkah anda melihat kejadian ini terus berleluasa. Kita hidup di zaman metropolitan, tapi kenapa masih ada yang berfikiran kolot. Kenapa anda berani melakukan tapi tidak berani menanggung risiko. Mari kita lihat gambar kekejaman manusia pada hari ini.





Masih tidak cukup gambar-gambar di atas untuk anda insaf dan bertaubat. Itulah yang dikatakan manusia yang tidak berhati perut. Tergamak mereka memperlakukan anak-anak kecil itu sedemikian rupa. Sedarlah wahai saudara sekalian. Hentikanlah perbuatan yang sia-sia ini. Mungkin anda merasakan puas setiap kali melakukan hubungan seks, tapi seharusnya anda tanggunglah akibatnya. Jangan diperlakukan seperti binatang malah lebih hina dari haiwan. Haiwan sendiri sayang akan anak mereka. Lihatlah gambar di bawah ini.





Haiwan sendiri mempunyai perasaan kasih dan sayang terhadap anak mereka. Inikan pula kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran. Mengapa kita bertindak seperti orang yang tidak mempunyai akal? Nabi kita tidak pernah mengajar umatnya melakukan perkara terkutuk itu. Hanya masyarakat arab jahiliah sahaja yang berfikiran seperti ini. Adakah kita tergolong dalam masyarakat arab jahiliah? Pasti tidak. Maka bertindak seperti yang diajar oleh Rasul kita. Jauhi maksiat.



Apa salahnya jika sekali-sekala kita mengalirkan air mata keinsafan. Sebagai tanda hamba yang lemah. Setidak-tidaknya sehelai bulu mata yang terkena air mata keinsafan mampu menjadi saksi kepada kita di akhirat nanti. Daripada kita baziri ia dengan tujuan yang lain.



Setiap manusia tidak lepas dari melakukan kesilapan. Termasuk jugalah dalam memilih cinta. Demi menjaga maruah diri dan agama, hati-hatilah dalam memilih cinta. Sesungguhnya cinta yang suci adalah cinta yang berlandaskan syariat dan kerana Allah. Hiasilah diri dengan iman yang mantap dan pengetahuan agama yang cukup agar dapat membentengi diri dari perkara-perkara negatif. Allah s.w.t. tidak menciptakan sesuatu itu dengan sengaja, begitu jugalah dengan perkara yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai umat yang pintar, kita seharusnya pandai membezakan antara yang baik dan yang buruk.




InsyaAllah, pada masa akan datang akan diulas perbezaan antara couple dan cinta. Ini adalah hasil karya saya sendiri. Sepanjang penulisan untuk menyiapkan artikel ini, terdapat banyak rintangan dan alhamdulillah akhirnya siap... Wallahualam. Kalau ada apa-apa yang silap boleh dibertahu. Assalamualaikum…

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS