RSS

Keredhaan Yang Dicari - Episod Ketiga

Ahhh.... Apa ini semua? Kenapa aku terlalu mudah untuk ditawan? Apa yang sedang aku lakukan ini?.... Ya Allah, Kau bantulah aku melawan nafsu amarah ini. Aku tidak dapat mengawalnya kecuali dengan izin Kau, Ya Allah. Aku adalah hambaMu yang lemah lagi hina dan aku memohon bantuan dariMu untuk membantu aku, Ya Allah.

Dengan rahmat dan izin dari Allah s.w.t., Ustaz itu berjaya melawan nafsu. Segera dia menepis wanita itu. Balqis terkejut dengan tindakan Ustaz itu. Dia tidak faham dengan apa yang cuba Ustaz itu lakukan. Dia dilanggan oleh Ustaz itu, tapi mengapa Ustaz itu tidak ingin menerima layanannya.

Lantas Ustaz itu berkata. "Saya rasa awak dah salah faham. Saya bayar bukan untuk membeli maruah awak. Tapi saya ajak awak datang ke sini adalah untuk membantu awak. Saya tahu awak balik Balqis, sahabat saya semasa di sekolah menengah lagi. Saya kenal awak dan perwatakan awak. Dan saya yakin awaklah orang itu."

"Ya, saya sebenarnya Balqis yang awak maksudkan itu."

Ustaz itu kelihatan terkejut dengan apa yang nyatakan oleh wanita itu. Tidak disangkakan bahawa wanita itu adalah Balqis yang dicarinya. Apa yang sukar untuk diterimanya ialah perubahan yang berlaku ke atas Balqis. Dia benar-benar sukar untuk terima apa yang berlaku kepada Balqis. Perubahan yang amat besar dan perubahan yang negatif. Ternyata dia dihantar oleh Allah s.w.t. untuk membantu wanita itu, walaupun sebenarnya hidayah itu datang dari Alla s.w.t. itu sendiri.

"Boleh saya tanya sesuatu.?" tanya Ustaz itu.

"Apa yang awak nak tanya?" balas wanita tersebut.

"Kenapa awak berubah sampai macam ini sekali? Apa yang sebenarnya terjadi?"

"Panjang ceritanya. Saya malu nak cerita pada awak. Dan sebenarnya saya malu nak berhadapan dengan awak. Saya malu dengan apa yang berlaku pada diri saya." jawab Balqis dengan titisan air mata yang mengalir di pipi.

"Awak tak perlu malu untuk berhadapan dengan saya. Saya cuma manusia biasa yang sama tarafnya dengan awak. Awak septutnya malu untuk berhadapan dengan Allah s.w.t.. Kerana Dia yang menciptakan kita dan Dialah yang menguasai segala sesuatu di dunia ini. Kalau awak tak kisah, saya sebenarnya ingin membawa awak kembali ke dunia asal awak dan kalau boleh saya nak awak tinggalkan semua ini. Saya tahu saya bukanlah seorang yang sempurna untuk membimbing awak. Tapi, saya rasa tanggungjawab saya sebagai khalifah di muka bumi ini dan juga sebagai sahabat awak menyebabkan saya ingin membantu awak. Saya tak nak awak terus hanyut dengan dunia awak ini." terang Ustaz itu lagi.

"Ya, saya memang sudah lama mencari orang yang boleh bimbing saya, tapi tak ada sesiapa yang betul-betul ikhlas nak bantu saya. Kebanyakan mereka ini cuma ingin mengambil kesempatan. Itu yang menyebabkan hati saya tertutup untuk mencari insan yang benar-benar ingin membantu saya. Saya takut disebabkan saya, mereka akan turut terjebak dalam dosa yang sama. Lagipun, dapatkah dosa saya ini diampunkan sedangkan sudah banyak perkara-perkara buruk yang saya lakukan." balas wanita itu.








*Dapatkah Ustaz itu memujuk Balqis untuk kembali ke pangkal jalan. Sedangkan itu bukanlah suatu kerja yang mudah dan memerlukan kepakaran agar diri sendiri tidak terjebak dengan dosa orang yang ingin dipimpin. InsyaAllah, akan bersambung dengan isi-isi dan ilmu yang bermanfaat.... Waallahu'alam.......

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Keredhaan Yang Dicari - Episod kedua

Ketika sedang cuba melawan godaan, Ustaz itu terdengar hasutan-hasutan yang bisa meruntuhkan tiang-tiang  iman dan taqwa.


"Bilakah lagi kau akan merasa nikmat seperti ini? Mangsa sudah ada di depan mata. Jangan ditunggu lagi masa yang akan datang. Setiap muslim yang disumbatkan ke dalam neraka akan masuk syurga juga di akhirat nanti, jadi apa yang kau takutkan. Tiada apa yang perlu kau takutkan. Tiada siapa yang tahu perbuatan kau ini. Jangan bodoh."

Itulah antara hasutan-hasutan yang membisik di telinga Ustaz. "Ya, benar apa yang dikatakan itu. Aku tidak harus melepaskan peluang yang datang ini. Mungkin aku bukanlah manusia yang sempurna untuk menasihati manusia lain. Apa salahnya jika aku ingin merasainya sekali."

Sedang Ustaz itu cuba untuk membalas perbuatan wanita itu, maka terdengarlah bisikan-bisikan yang datang entah dari mana.

"Wahai si fulan, janganlah engkau melakukan sedemikian. Kerana akulah yang akan menjadi saksi di atas setiap perbuatanmu ini di akhirat kelak. Dan setiap yang kau lakukan akan dipertontonkan di akhirat kelak meskipun ianya baik atau buruk."

"Wahai si fulan, aku ini kaki mu. Tadi engkau datang dengan niat untuk berdakwah dan ingin membawa wanita ini pulang ke jalan Islam. Tapi mengapakah kini kau yang menjadi mangsanya. Sudahkah kau lupa dengan apa yang kau hajatkan. Dan sudahkah kau lupa dengan janji-janji Allah setiap perkara yang kau lakukan. Jika tadi kau melangkah dengan niat untuk berdakwah, maka pahala dan keredhaanNyalah yang kau peroleh. Tapi kini kau berdiri kerana untuk berbuat maksiat, maka sepanjang kau berdiri itulah dosamu. Jadi, beruntungkah kau jika melakukan sedemikian."

"Wahai si fulan, aku ini hatimu. Jika tadi aku kelihatan suci bersih, tapi kini aku sudah mula memiliki tompok-tompok hitam. Apakah kau suka aku memiliki tompok-tompok ini? Jika aku rosak, maka rosaklah seluruh anggota yang lain. Jika aku bersih, maka terpeliharalah setiap anggotamu daripada berbuat kejahatan. Wahai si fulan, aku ingin kelihatan cantik dan suci agar kau dapat ditempatkan di sisi hambaNya yang diredhai. Maka masihkah kau ingin melakukan sedemikian."

"Wahai si fulan, aku ini kemaluanmu. Aku dikurniakan untuk berbakti kepada kau. Jika kau berbuat sedemikian, maka aku terpaksa akur. Tapi puaskah kau dengan apa yang kau lakukan itu? Aku dikurniakan bukan untuk kau guna sebagai alat untuk bersenang-lenang, tapi tugasku adalah untuk berbakti dan memberi nafkah kepada isteri dan yang halal bagimu. Maka haruskah kau gunakan aku untuk perkara sedemikian? Tidakkah kau kasihan akan wanita yang bakal menjadi isterimu. Sesungguhnya wanita itulah yang selayaknya menikmati aku dan bukan wanita ini."



*Apakah yang akan dilakukan Ustaz itu. Berjayakah dia memperjuangkan matlamatnya. Atau leka dengan nikmat nafsu. Ikutilah kisah seterusnya yang penuh kisah-kisah tauladan dan ilmu yang bermanfaat. InsyaAllah..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Keredhaan Yang Dicari - Episod pertama

بسم الله الرحمن الرحيم

أعوذ مع اسم الله من كلام من الرصاص مضللة




Kisah ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena-mengena dengan yang hidup atau yang sudah meninggal dunia. Kisah ini direka kerana ingin para pembaca mengambil iktibar dan apa yang disebutkan dalam cerita ini InsyaAllah adalah benar. Selain itu, tujuannya adalah untuk para pembaca tahu sebesar mana pun dosa yang telah kita lakukan atau sejauh mana pun kita kepada Allah, jalan untuk kita pulang atau jalan untuk kita bertaubat tetap terbuka selagi belum terbuka pintu kiamat. Jangan sesekali jadikan dosa masa lalu sebagai penghalang untuk kita menjadi seorang hamba yang beriman dan bertaqwa. Tapi jadikanlah dosa masa lalu itu sebagai pemangkin untuk kita bersemangat mengubah diri ke arah kebaikan.

Kisah ini bermula apabila seorang remaja lelaki sedang berjalan di sebuah kawasan yang menjadi tumpuan pasangan-pasangan yang ber'couple' melepaskan nafsu yang terkurung. Tempat itu memang terkenal dengan aksi-aksi hangat para remaja yang asyik dibuai alunan syahwat. Mereka ini seolah-olah tidak peduli dengan masyarakat-masyarakat yang datang untuk berekreasi. Inilah yang dikatakan bukti cinta sebenar, sehinggakan anak-anak gadis remaja sanggup menggadaikan maruah yang diberikan olehNya supaya mereka memperoleh keistimewaan. Tetapi, dimanakah mereka menyerahkan maruah mereka? Adakah di jalan yang dibenarkan Islam? Malu rasanya apabila melihat ianya dilakukan oleh umat Islam itu sendiri. Yang menjadi peliknya, kenapa tidak ada bangsa lain yang melakukannya?

Remaja ini dikenali dengan panggilan Ustaz Abdullah (hamba Allah). Walaupun pada hakikatnya remaja ini bukanlah dari golongan ustaz, tetapi disebabkan sengat untuk menegakkan Islam yang ada dalam dirinya menyebabkan dia digelar dengan panggilan tersebut.

Sedang si Ustaz ini berjalan-jalan, tiba-tiba matanya terpaku pada seorang perempuan. Kelihatan perempuan itu seperti menantikan kehadiran seseorang. Selang beberapa minit kemudian, datang seorang lelaki yang membawa sebuah kereta 'sport'. Lalu perempuan itu menaiki kereta 'sport' itu. Dengan tiba-tiba tergerak hati ustaz itu untuk mengekori ke mana arah tuju perempuan. Setelah hampir setengah jam perjalanan, akhirnya mereka tiba di sebuah hotel 5 bintang yang terdapat di bandar yang berdekatan. Ustaz berasa pelik kenapa nalurinya kuat untuk mengikuti perempuan tersebut. Perempuan itu dan pasangannya itu menuju ke dalam hotel tersebut dan ustaz itu mengambil keputusan untuk tunggu di luar kawasan hotel.

Waktu terus berlalu. Akhirnya wanita itu keluar dari hotel itu dengan pasangannya. Dengan secara tidak sengaja Ustaz itu melihat lelaki itu menghulur sejumlah wang besar nilainya kepada perempuan tersebut. Terlintas dalam fikiran Ustaz itu, adakah perempuan ini seorang pelacur? Tapi dia tetap dengan bersangka baik terhadap perempuan itu. Mungkin saja perempuan itu meminjamnya dari lelaki itu. bebrapa minit kemudian lelaki itu meninggalkan wanita tersebut. Tanpa membuang masa, Ustaz itu segera mendapatkan perempuan itu.

"Assalamualaikum. Awak ini Balqis ke?" tanya Ustaz tersebut.

Melihat saja Ustaz itu, si perempuan itu terus melarikan diri lalu mengambil teksi untuk pulang. Perempuan itu kelihatan seperti terkejut melihat kehadiran Ustaz itu. Tanpa berlengah, Ustaz itu terus mengikuti perempuan itu dari belakang. Akhirnya tibalah di rumah perempaun itu. Ustaz itu mengambil keputusan untuk datang menemui perempuan itu pada esok hari kerana hari sudah lewat malam.

Pada keesokannya, tepat jam 8 pagi, Ustaz itu berada di kawasan berhampiran rumah perempuan itu. Ustaz itu bercadang untuk pergi ke rumah perempuan itu, tetapi sebaik saja dia menghampiri rumah perempuan itu dengan keretanya, dia melihat perempuan itu keluar dengan lelaki lain. Yang peliknya, lelaki itu berlainan dengan lelaki semalamnya dan pakaian wanita itu agak menyakitkan mata sehinggakan tersingkap bahagian-bahagian yang sudah semestinya boleh menaikkan syahwat bagi sesiapa yang melihatnya. Wanita itu memang cantik. Bahkan kecantikannya itu seperti seorang bidadari. Ustaz itu terus mengekori wanita itu. Dan tempat yang dituju oleh wanita itu sama seperti tempat semalam. Ustaz itu kelihatan pelik. Apa yang sebenarnya yang dilakukan oleh wanita itu?

Sama seperti semalam, Ustaz itu mengambil keputusan untuk tunggu di luar kawasan hotel. Dan selang beberapa jam kemudian wanita itu keluar bersama-sama dengan lelaki itu bersama-sama dengan sejumlah wang yang agak bersar nilainya. Ustaz itu mula merasa ada sesuatu yang tidak kena. Ustaz itu cuba mendekati wanita itu, tetapi gagal kerana wanita itu melarikan diri sebaik saja melihat ustaz itu. Ustaz itu tidak bercadang untuk mengejar wanita itu tetapi dia bercadang untuk ke rumah wanita itu dan bertemu dengan teman-temannya. Sebaik saja tiba di rumah wanita itu, Ustaz itu terkejut apabila melihat ramai wanita yang menginap di rumah itu berpakaian mmenjolok mata. Dengan rasa segan, ustaz itu terus memberi salam. Sebaik saja salamnya dilafazkan, semua wanita di dalam rumah itu merenung ke arahnya. Ustaz itu terdiam juga bersama dengan wanita-wanita itu. Melihat saja wajah Ustaz itu, wanita-wanita itu terus keluar untuk mendapatkannya. Tidak dinafikan wajah Ustaz itu cukup tampan untuk menjadi kegilaan para wanita.

Wanita-wanita itu cuba menggoda Ustaz itu menunjukkan bahagian-bahagian yang bisa menaikkan syahwat. Tapi Ustaz itu cuba menahan nafsunya. Tanpa berlengah lagi ustaz itu bertanya, "Inikah rumah Balqis?".

Wanita-wanita itu kehairanan kerana tiada seorang pun yang bernama Balqis yang menginap di rumah itu. Lalu Ustaz itu menjelaskan ciri-ciri Balqis yang diperkataknnya. Akhirnya fahamlah wanita-wanita itu, rupanya di dalam rumah itu dia dikenali sebagai Sally. Ustaz cuba mengorek rahsia wanita itu. Dan akhirnya barulah dia tahu bahawa wanita itu seorang pelacur.

Sejurus selepas itu, Ustaz itu terus berhenti menjejaki wanita itu.

Seminggu lamanya Ustaz itu mendiamkan diri. Dalam tempoh itu jugalah Ustaz itu diganggu masalah berkaitan dengan wanita itu. Dia melakukan solat Istikharah agar dia diberi petunjuk apa yang dia harus lakukan. Akhirnya, Ustaz itu membuat keputusan untuk berjumpa dengan wanita itu dan mendapat satu idea bagaimana dia boleh mendekati wanita itu. Ustaz itu mengambil keputusan untuk berjumpa dengan wanita tersebut di rumah wanita itu. Pada mulanya wanita itu tidak ingin bertemu dengan ustaz itu, tetapi setelah Ustaz itu menyatakan hasratnya datang ke rumah wanita itu adalah untuk melanggannya. Setelah beberapa minit berfikir, akhirnya wanita itu bersetuju untuk dilanggani dengan harga demikian dan demikian. Ustaz itu bersetuju dan membawa wanita ke hotel yang selalu ditempahnya. Setiba saja tiba di dalam bilik yang ditempahnya, wanita itu terus menanggalkan pakaiannya. Wanita itu berpakaian separuh bogel dan cuba untuk mendekati Ustaz itu. Sebaik saja wanita itu cuba untuk mencium Ustaz itu, Ustaz itu kaku. Dia merasa tubuhnya seperti tidak boleh bergerak dan dalam masa yang sama juga mulut wanita itu semakin dekat dengan mulut Ustaz itu...


*Bersambung di episod yang akan datang. Teruskan membaca kerana di setiap episod  akan ada tip-tip untuk menjadi seorang hamba yang soleh/solehah dan taat serta bertaqwa.. Waallahu'alam.... Bertemu di lain halaman..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS