RSS

http://sayhabarmaz.blogspot.com/2010/04/hukuman-berat-membendung-gejala-buang.html


skip to main

skip to sidebar seha

...gLoRy aLL tHe wAy...



Thursday, April 15, 2010

Hukuman Berat Membendung Gejala Buang Bayi







“Rugilah mereka yang telah membunuh anak-anak mereka dengan kejahilan, tanpa pengetahuan dan mereka mengharamkan apa yang telah direzekikan dengan menipu tentang tuhan. Mereka telah sesat dan mereka tidak dapat petunjuk”



Seiring dengan arus pemodenan sains dan teknologi, Malaysia dengan bangganya bergerak pantas menuju ke alaf baru. Namun demikian, dewasa ini, kes pembuangan bayi dilihat semakin berleluasa dan menjadi-jadi.



Pembuangan bayi adalah salah satu jenayah berat dan ia terjadi akibat berlakunya kehamilan yang tidak diingini dan perhubungan seks rambang. Akibat rasa malu dan takut yang bakal ditanggung, mereka yang terjebak dalam kancah perzinaan akan mengambil tindakan di luar kotak pemikiran dengan membuang anak luar nikah tersebut.



Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala. Malah, ada di antara mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan belajar di IPT. Semua yang dilakukan hanya untuk memuaskan nafsu tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa. Dari perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah mereka yang mementingkan diri sendiri



Saban hari, terdapat banyak kes bertimbun-timbun tentang laporan pembuangan bayi. Misalnya, bayi-bayi yang bernasib malang ini dibuang tanpa perikemanusiaan dijumpai seperti di dalam tandas, di tepi longkang, timbunan sampah dan sebagainya.










Pada tahun 2000, mengikut statistik, yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman didapati peningkatan pembuangan bayi sebanyak 83 kes berbanding 63 kes pada tahun lalu. Daripada jumlah tahun lalu, 79 kes membabitkan pembuangan bayi dan Selangor merupakan negeri yang mencatatkan angka yang tertinggi iaitu sebanyak 22 kes pada tahun 2000 dan ia meningkat kepada 24 kes pada tahun 2006.



Gejala pembuangan bayi merupakan kesalahan yang lebih kejam dari perbuatan haiwan. Sedangkan haiwan juga mempunyai perasaan kasih sayang terhadap anak sehingga sanggup mati demi anak.



Oleh hal demikian, hukuman berat adalah sememangnya perlu dilaksanakan agar dapat membendung gejala pembuangan bayi. Justeru, untuk membendung permasalahan seperti ini daripada terus berleluasa, maka jalan yang boleh melorongkan ke arah perlakuan zina ini perlu ditutup serapat-rapatnya. Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam firmannya, surah Al-Isra (17) ayat 32 yang bermaksud...



“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk”



Ayat ini secara jelas menyentuh mengenai zina dan umat Islam dilarang melakukan zina kerana kesannya dalam masyarakat, amat buruk. Kesannya bukan sahaja kepada individu yang membuat ‘pprojek’ terbabit, malah kepada masyarakat kerana ia memberi impak kepada keturunan, selain boleh mengundang kepada jenayah lain seperti membunuh.



Tindakan undang-undang yang lebih tegas harus diambil terhadap mereka yang terbabit dengan zina. Biasanya, pasangan suami isteri yang mempunyai ikatan sah tidak akan membuang bayi mereka. Tindakan membuang bayi ini adalah hasil hubungan pasangan yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan sah.



Menurut undang-undang Malaysia, Persetubuhan luar nikah merupakan Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 di dalam Seksyen 23 manakala di Selangor pula di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Memandangkan, hukuman sedia ada kurang memberi kesedaran dan kesan yang sewajarnya kepada pelaku-pelaku ‘projek’, peruntukan undang-undang terhadap hukuman pesalah zina ini harus dipinda dan dikaji dengan memberikan hukuman yang lebih berat agar permasalahan seumpama ini dapat dibendung dari akar umbi bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ pepatah ini sangat memberi makna kerana peranan ibu bapa dalam membentuk anak-anak mereka dari kecil lagi sangat perlu di titik beratkan.



Masyarakat sekarang terutamanya remaja tidak mengendahkan segala bentuk hukuman yang bakal mereka hadapi sekiranya terbabit dengan jenayah syariah seperti melakukan zina. Oleh sebab itu mereka tidak gentar mengenai hukuman yang bakal dikenakan.



Menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad isa Abd Ralip, semua kesalahan di bawah undang-undang jenayah syariah mengenakan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda sehingga RM5,000 atau enam sebatan, jika sabit kesalahan. Tambah beliau, sekiranya dapat dipinda, perkataan ‘atau’ itu sepatutnya ditukarkan kepada ‘dan’ supaya pesalah tidak mempunyai pilihan dan sentiasa beringat sebelum melakukan kesalahan.



Sewajarnya, Malaysia perlu mempraktikan hukuman yang setimpal kepada mereka yang bergelar ‘binatang’ ini adalah seperti hukuman hudud yang telah lama digunakan dalam sistem undang-undang Islam. Hukuman sebat dalam undang-undang hudud merupakan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah seperti yang tertera dalam kitab suci al Quran.



Firman Allah s.w.t bermaksud, “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat. (Surah An-Nur : 2)”



Pelaksanaan hukuman berat seperti hukuman hudud ini adalah bertujuan supaya pelaku zina dan juga pembuang bayi patut menerima hukuman itu atau sesiapa yang melihatnya akan membenci perbuatan itu. Selain itu, hukuman hudud dapat membersihkan masyarakat dari tabiat yang keji. Pelaksanaan hukuman ini juga dapat mengamankan masyarakat dari bahaya dan ancaman penjenayah. Malah, yang paling utama agar dapat menjadi contoh dan teladan supaya maksiat dan gejala pembuangan bayi dapat diatasi.



Natijahnya, gejala pembuangan bayi akan memberi impak negatif kepada pembangunan negara. Peranan ibu bapa dilihat amat penting dalam membentuk masa depan generasi muda di negara ini. Oleh hal yang demikian, masyarakat dan pihak yang terlibat perlulah bekerjasama dalam membanteras gejala ini sehingga ke akar umbi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment