RSS

Pesanan Rasulullah Yang Dilupai Muslimah

Masyarakat sering menyalahertikan pengertian zina. Bagi mereka terjadinya zina itu apabila berlakunya persetubuhan antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan yang sah. Itulah pandangan bagi mereka yang sengaja membutakan mata dan yang tidak boleh menerima pengertian zina dari sudut Islam. Zina itu boleh berlaku dalam pelbagai cara dan keadaan. Zina juga boleh berlaku apabila seseorang itu leka dalam mengawal nafsu. Apabila seseorang itu gagal mengawal nafsu, mereka ini lebih cendurung melakukan zina secara batin. Antaranya ialah zina hati dan pancaindera. Zina hati ini berlaku apabila perasaan seseorang itu merindui pasangan bukan mahramnya yang lahir kerana nafsu dan nafsu ini sudah tentu digoda oleh syaitan.

Zina pancaindera pula sering berlaku apabila kita berada di tempat-tempat awam. Perkara ini mudah berlaku kerana kita terdedah kepada persekitaran yang sesak dengan manusia. Zina ini berpunca dari wanita yang gemar memakai wangi-wangian yang sehingga menyebabkan masyarakat sekeliling dapat merasai wangian tersebut. Antara pesanan Rasulullah untuk muslimah ialah (boleh dilihat dalam video di atas) Dalam video ini kita dapat ingat kembali apa yang Rasulullah s.a.w. telah berpesan sejak lebih dari 1431 tahun lagi. Ingin di sini saya menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda antara kaum yang paling ramai masuk neraka ialah kaum hawa dan yang akan diutamakan untuk ke syurga ialah kaum hawa. Jadi, sebagai umat yang mempunyai akal yang waras, pilihan manakah yang ingin menjadi pilihan utama kita sebagai umat Islam. Rasulullah juga pernah bersabda, nikmat di dunia ini jika ingin dibandingkan dengan akhirat ibarat kita mencelupkan tangan dalam lautan dan mengangkat kembali. Setelah itu kita lihat titisan air yang menitis jatuh. Titisan itu yang kecil itu merupakan nikmat dunia dan lautan yang luas itulah nikmat akhirat. Pilihlah, jika anda ingin memilih nikmat titisan air itu, maka hiduplah anda dengan hidup yang penuh dengan hawa nafsu. Tetapi, jika anda ingin memilih untuk menikmati nikmat seluas lautan itu, maka berusahalah untuk memilikinya. Tidak ada sesuatu benda pun yang boleh mengubah sesuatu kaum itu kecuali dirinya sendiri. Pesanan ini ditujukan kepada muslimah. Tujuan teks ini ditulis bukan untuk mengecam kaum hawa, tetapi untuk peringatan  dan santapan rohani.       

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Mengenal pasti gangguan jin dan cara mengubatinya… 1




KERTAS KERJA:
Mengenal pasti gangguan jin dan cara mengubatinya… 1. (mukadimah kepada pengenalan jin)





Alam Jin

1.     Beriman kepada alam ghaib.

Beriman kepada alam ghaib adalah salah satu dari asas akidah Islam, bahkan ianya merupakan sifat yang pertama dan utama yang dimiliki oleh Allah swt. Sebagaimana firmannya yang ditujukan kepada hamba-hambanya yang bertaqwa yang berbunyi:

“Allah sahaja yang mengetahui maksudnya. Kitab al-Qur’an yang tiada keraguan padanya dan ianya merupakan petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”               
                                                                                                             (Surah al-Baqarah: ayat 1-3)

Justeru itu, bagi setiap orang muslim, mereka wajib beriman kepada yang ghaib tanpa sedikit pun rasa ragu dan was-was. Dalam perkara ini Ibnu Mas’ud mengatakan: “Yang dimaksudkan dengan perkara ghaib itu ialah segala apa sahaja yang ghaib dari kita dan perkara itu telah diberitahu oleh Allah swt dan RasulNya.”

Begitu juga dengan jin. Jin termasuk antara makhluk ghaib yang kita patut beriman atas kewujudan mereka, tetapi bukan dengan memuja atau menjadi pengikut mereka. Hal ini kerana terdapat banyak dalil daripada al-Qur’an dan hadis Nabi saw yang menerangkan tentang kewujudan mereka. Dalil-dalil tentang kewujudan mereka akan dibahaskan dalam kerts kerja yang lain.

2.     Yang nampak dan yang tersembunyi

Jin adalah nama jenis, bentuk tunggalnya ialah ‘jinny’ yang bererti yang tersembunyi atau yang tertutup atau yang tidak terlihat. Hal itulah yang memungkinkan kita untuk mengaitkannya dengan sifat umum ‘alam yang tersembunyi’, meskipun aqidah Islam memaksudkannya dengan makhluk-makhluk yang berakal, berkehendak, sedar dan mempunyai kewajipan, berjasad halus, dan hidup bersama-sama dengan kita di dunia ini.
Walaupun jin itu tidak dapat dilihat atau tersembunyi dari penglihatan atau pancaindera kita, maka bukanlah bererti makhluk itu tidak wujud. Hal ini kerana ramai umat manusia yang tidak mempercayai kewujudan mereka dan seolah-olah mereka ini tidak beriman sepenuhnya kepada Allah swt. Hal ini jelas telah dinyatakan dalam ayat al-Qur’an di atas dan tiada satu pun yang dapat menafikan kewujudan jin ini melainkan mereka ini tidak beriman dan tidak lain mereka inilah tergolong antara musuh Islam.

Malah ada pula yang begitu taksub dengan golongan jin ini sehingga mereka sanggup menyembah dan memuja mereka seperti mereka (jin) pula yang paling berkuasa di muka bumi ini sedang ada yang lebih berkuasa. Oleh itu, di dalam kertas kerja ini bukanlah bertujuan untuk kita mempelajari bagaimana untuk memuja jin, tetapi sebaliknya untuk kita belajar bagaimana untuk mengenali sifat-sifat jin dan untuk mengetahui betapa bahaya jika kita berurusan dengan jin. Selain itu, dalam kertas kerja ini juga lebih menekankan bagaimana untuk mengenal pasti jenis gangguan jin dan cara untuk mengubati mengikut cara perubatan Islam yang telah digariskan oleh syarak. Sebagai umat Islam, kita sepatutnya merujuk kepada yang lebih pakar dan arif dalam Islam sebelum melakukan sesuatu perkara yang memusykilkan untuk kita lakukan agar kita terhindar dari melakukan perkara yang dilarang. InsyaAllah, apa yang akan dimuatkan dalam kertas kerja ini semuanya berpandukan syarak.

3.     Makna jin dalam bahasa arab.

Dari segi bahasa al-Jin adalah lawan kata kepada al-Ins (manusia). Disebut-sebut jika dikatakan ‘anastu asy-syaa’ bererti ‘saya melihat sesuatu’. Allah swt berfirman:

“Maka tatkala Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan, dan dia berangkat dengan keluarganya,  lalu dilihatnya api dilereng gunung. Dia berkata kepada keluarganya, ‘Tunggulah di sini, sesungguhnya aku melihat api (anastu naran)’”

Kosa kata dalam bahasa arab terdiri daripada perkatan Jim dan Nun, dengan pelbagai bentuknya. Memiliki pengertian benda atau makhluk yang tersembunyi.

4.     Awal penciptaan jin dan dalil-dalil tentang kewujudannya.

Allah swt menciptakan jin lebih awal dari manusia iaitu dengan selisih waktu yang sangat lama dan panjang apabila dikiaskan oelh jin dan manusia itu sendiri. Hal ini dibuktikan dengan firman Allah swt:

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam dan diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan Jin, sebelum itu dari api yang sangat panas.”

Kalimat ‘sebelum itu’ dalam ayat tersebut menunjukkan waktu yang sangat lama yang menunjukkan usia jin menghuni muka bumi ini sebelum manusia. Diriwayatkan dari Utsman menerangkan: “Allah swt menciptakan anak cucu jin 2000 tahun sebelum menciptakan Adam as.” Ada pendapat yang mengatakan bahawa selisih waktu penciptaan di antara jin dan manusia itu hanyalah 40 tahun. Namun riwayat tersesebut diragui kesahihannya kerana terdapat beberapa perkara yang diragui pada riwayat selepas Utsman iaitu Ibn Basyar.
Dalil lain yang membuktikan kewujudan mereka ialah Allah swt berfirman:

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat ‘Sujudlah kamu kepada Adam’. Maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia dan golongan jin, dia lalu menderhakai perintah Tuhannya..”

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka itu beribadah.”

“Wahai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan ayat-ayat-Ku dan memberi peringatan kepadamu terhadap pertemuan dengan hari ini?”

Tersapat banyak lagi dalil-dalil yang membuktikan tentang kewujudan jin ini. Mengingkari kewujudan mereka adalah perkara yang tidak berasa kerana ciri-ciri mereka ini telah diberitahu oleh Allah swt melalui firmannya di dalam al-Qur’an.

5.     Bahan asal penciptaan Jin.




Allah swt berfirman:

“Dan Kami telah menciptakan Jaan (Jin), sebelum itu dengan api yang sangat panas (nar as-samum).”

“Dia menciptakan Jaan (Jin) dari nyala api (maarij).”

“Malaikat diciptakan dari cahaya, dan Jin diciptakan dari api, dan manusia diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kalian.”

Dengan yang demikian, sama ada al-Qur’an mahupun as-Sunnah yang suci telah menegaskan tentang bahan asal penciptaan jin iaitu dari api.  Sekalipun berbeza sebutan iaitu ‘nyala api’ dan ‘api yang sangat panas’.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    DEFINISI, HUKUM DAN PERMASALAHAN AURAT DALAM ISLAM BERDASARKAN DUNIA SEMASA

    KERTAS KERJA:

    DEFINISI, HUKUM DAN PERMASALAHAN AURAT DALAM 
    ISLAM BERDASARKAN DUNIA SEMASA
     Penulis: Ibn Hassan



    Definisi Aurat dalam Islam

              Pengertian aurat menurut bahasa ialah keaiban. Manakala menurut pengertian dan pandangan syarak ialah bahagian-bahagian tertentu pada bahagian badan manusia yang wajib ditutupi daripada pandangan orang yang diharamkan melihatnya (bukan mahram). Perbezaan batas-batas aurat adalah kerana hubungan keturunan dan kerana tali ikatan seperti perkahwinan,, mertua, menantu, ipar duai dan kerana penyusuan dan sebagainya.

                Perbahasan tentang permasalahan aurat sudah lama diperkatakan dan tidak pernah sunyi daripada dibahaskan. Malangnya, apa yang menyedihkan ialah sering kali permasalahan ini dibahaskan oleh oaring yang dikuasai nafsu dan tidak berlandaskan nas-nas yang sahih, sebaliknya kebanyakan mereka ini benci kepada sumber qat’ie.

                Namun yang beranggapan bahawa menutup aurat akan mejadi faktor kepada kemunduran Islam. Di samping itu, terdapat juga wanita muslim yang masih tidak tahu, tidak faham, dan salah faham mengenai cara menutup aurat mengikut syar’ie di dalam kehidupan mereka. Justeru itu, mereka inilah yang akan terjatuh kelembah kemaksiatan, dosa dan keharaman. Oleh itu, hukum menutup aurat ini adalah perkara yang serius dan harus diperhatikan betul-betul agar anda sebagai muslimah tidak terjerumus ke dalam kesesatan.

    Dalil-dalil tentang aurat wanita

    1.      Batasan aurat muslimah.

    Aurat wanita ialah seluruh anggotanya kecuali muka dan kedua telapak tangan. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan muhrim) walaupun sehelai. Pendek kata dari hujung mata hingga ke hujung kaki adalah aurat wanita kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Perkara ini berlandaskan firman Allah swt:

    “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang (biasa) Nampak darinya.”                                                                                      
                                                                                                                                            (surah an-Nur: 31)

    Yang dimaksudkan “wa laa yubdiina ziinatahunnaa”(janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka), adalah “mahalla ziinatahinna” maksudnya “dan janganlah mereka menampakkan tempat-pempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. (Lihat Abu Bakar Jashshash, Akamul Qur’an, Juz III, Halaman 316)

    Seterusnya kalimah “illa maa zhaharah  minha” bermaksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya”. Ini bermakna ada anggota yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua tapak tangan. Ia disokong oleh beberapa orang sahabat iaitu Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Aisyah. (al-Albani, 2001;66)

    Ibnu Jarir Ath-Thabiri (wafat 310 hijrah) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur’an Juz 98, m/s 84, mengenai apa yang dimaksudkan “kecuali yang (biasa) Nampak darinya”, katanya, pendekatan yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan adalah wajah dan kedua tapak tangan.

    Pendapat yang sama dinyatakan oleh Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an Juz 11 halaman 229 (Al-Albani, 2001; 50 dan 57). Apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan kedua tapak tangan, dan kerana itu sahajalah anggota tubuh yang nampak dari kalangan muslimah di hadapan Rasulullah saw sedang baginda hanya mendiamkannya.

    Dalil lainnya yang menunjukkan seluruh anggota badan ialah aurat kecuali kedua tapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar:

    “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, sambil menunjukkan wajah dan kedua tapak tangannya”. (Hadis riwayat Abu Dawud)


    2.      Aurat wanita dalam Hayaatul Am (Kehidupan Umum)

    Yang dimaksudkan dengan hayaatul am adalah keadaan di mana keadaan wanita itu berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka ini bercampur dengan masyarakat. Pakaian wanita dalam hayaatul ‘am iaitu di luar rumah terdiri dari dua jenis iaitu:

                                    I.            Libas asfal (baju bawah) yang disebut sebagai jilbab.
                                  II.            Libas ‘ala (baju atas) yang disebut sebagai khimar (tudung).



    Dengan dua pakaian inilah wanita boleh berada dalam hayaatul ‘am seperti di jalanan, pasar-pasar, kampus-kampus, taman-taman, dewan orang ramai dan seumpamanya. Dalil yang mewajibkan wanita memakai jilbab berdasarkan firman Allah:

    “Wahai Nadi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbab.”
                                                                                                                                         (Surah al-Ahzab: 59)

    Oleh sebab al-Qur’an berbahasa arab, dan perkataan ‘jilbab’ itu adalah perkataan arab. Maka kita hendaklah memahami apa yang dimaksudkan dengan ‘jilbab’ di dalam bahasa arab. Dengan erti kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang orang arab faham bila disebut jilbab.

    Jadi apakah makna jilbab? Selain dari melihat sendiri dari nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada kamus bahasa arab yang lain mengetahui apa itu makna “jilbab”. Dalam kitab al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis, jilbab diertikan sabagai ats-Tsaubul musytamil ala al-Jasadi kullihi (pakaian yang menutup seluruh badan), atau ma fauqa ats-syiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan ke atas pakaian rumah seperti jubbah) atau al-mula’ah asy-tamilu bila al-mar’ah (pakaian wanita yang digunakan untuk menututpi seluruh tubuh wanita).

    Berdasarkan pengertian hadis ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan pakai yang satu yang lururs dari atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki.
    Dalil yang mewajibkan mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung), seperti firman Allah:

    “Hendaklah mereka menutup kain tudung ke dada mereka.”                                                                                                                                                                                                 (Surah an-Nur: 31)

    Pakai jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh muslimah (yang telah baligh) untuk menuju ke hayaatul ‘am. Setelah memakai dua jenis pakaian (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya untuk keluar. Jika tidak, maka haram baginya untuk keluar kerana perintah yang menyambut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum. Mana-mana muslimah yang telah baligh dan melanggar perintah Allah, maka berdosalah mereka dan layak untuk mendapat seksa Allah di akhirat.

    3.      Pakaian wanita dalam Hayaatul Khassah (Kehidupan khusus)

    Yang dimaksudkan dengan hayaatul khassah adalah keadaan di mana seseorang itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama anggota keluarganya yang lain.
    Adapun cara seorang muslimah itu menutup aurat di hadapan lelaki ajnabi dalam kehidupan khusus seperti di rumah atau di dalam kenderaan peribadi, syarak tidak menentukan bentuk pakaian/ fesyen tertentu tetapi membiarkan secara mutlak dengan tidak menentukannya dan cukup dengan mencantumkan lafaz dalam firmannya:

    “Wa laa yubdiina”                                                                                                                                                                                                                                                              (Surah an-Nur: 31)

    Ertinya: “Dan janganlah mereka menampakkan…”

    Atau sabda Nabi saw: “Lam yashluh an yura minha.” Ertinya: “Tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya.”(Hadis riwayat Abu Dawud)

    Jadi, pakaian yang menutupi semua auratnya kecuali muka dan tapak tangan dianggap sudah menutupi, walaubagaimana pun bentuknya. Tetapi ia tertakluk pada hukum tabbarruj.

    Berdasarkan hal ini, maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutup aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai penutup bagi aurat mengikut syar’ie, tanpa melihat bentuk, jenis dan fesyennya. Namun demikian, syara’ telah mensyaratkan dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Oleh kerana itu, apabila kain penutup itu tipis sehingga nampak warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada warna kulitnya merah atau pun coklet, maka kain penutup ini tidak dibolehkan menjadi kain penutup aurat dan haram hukum memakainya.




    4.      Wajib memakai tsaub, di samping jilbab

    Tsaub ialah ‘pakaian di rumah’ iaiu pakaian yang dipakai oleh wanita di hadapan mahramnya semasa berada di hayaatul khassah (kehidupan khusus) tatkala tiada lelaki ajnabi (lelaki asing) di dalamnya. Dalil mengapa wajibnya mengenakan tsaub di dalam jilbab ialah berdasarkan firman Allah:

    “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin berkahwin (lagi) tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian (tsiyab) mereka, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka.”                                                                                                                                            (Surah an-Nur: ayat 60)

    Ayat ini membenarkan wanita yang telah putus haid dan tidak ingin berkahwin lagi menanggalkan dan melepaskan pakaian (tsaub). Ini bermakna, jika tiada ‘pakaian’ di dalam jilbab, bermakna wanita yang telah putus haid berkenaan akan berbogel, walhal berbogel tidak dibenarkan. Justeru, tsaub wajib dipakai oleh muslimah di samping jilbab di dalam hayaatul ‘am atau hayaatul khas tatkala ada lelaki ajnabi.                     (Rujuk Imam Muhammad Abu Zahrah dalam kitab Usulul Fiqh: 147-164, Abdul Wahab Khallaf kitab ilmu Usul Fiqh: 143-153, Syeikh Taqiudin an-Nabhani dalam kitab as-Syahsiyyah al-Islamiyyah Juz 3: 178-179)


    Aurat ketika bersendirian

    Para alim ulama mazhab telah pun mempunyai pelbagai pendapat dan pandangan yang berbeza-beza bagi aurat ketika bersendirian.

    Bagi Imam Hanafi dan Imam Hambali, mereka berpendapat bahawa aurat ketika bersendirian adalah sebagaimana yang telah dilarang terhadap seorang yang mukallaf daripada mendedahkan auratnya di hadapan orang diharamkan melihatnya.

    Manakala, pendapat dan pandangan Imam Maliki dan Imam Syafi’e, aurat ketika kita sedang bersendirian adalah tidak diharamkan mendedahkan auratnya bahkan hanyalah makruh sahaja kecuali ketika dia sedang dalam keadaan yang darurat. Jika kita di dalam keadaan darurat, diharuskan kepada kita membukanya.


    Aurat wanita bersama dengan wanita bukan Muslim

    Aurat wanita Islam yang wajib ditutupi daripada dilihat oleh perempuan bukan muslim ialah dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Dalam surah an-Nur ayat 30-31 ada menyatakan batas-batas aurat dan perhiasan yang harus dan ridak harus di buka. Menurut tafsir Ibnu Abbas, muka dan tapak tangan atau disebut sebagai perhiasan zahir dikecualikan daripada anggota badan yang wajib ditutupi. Perhiasan batin iaitu telinga, leher, rambut, dada, dua lengan dan betis hanya harus dibuka ketika berada di rumah atau ketika berada di hadapan keluarga terdekat iaitu bapa, anak-anak, ibu bapa mertua dan adik beradik.

    Anggota badan yang sulit seperti belakang badan, perut, kemaluan dan paha tidak harus dibuka sama sekali, sekalipun bersama keluarga terdekat atau bersama wanita, sama ada wanita muslim atau bukan muslim. Kecuali kepada suami sahaja yang diizinkan melihat seluruh anggota isteri.

    Larangan bertabarruj

    Adapun dalil yang melarang bertabarruj datangnya juga dari surah an-Nur, ayat 60. Iaitu firman Allah swt:

    “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin berkahwin (lagi) tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian (tsiyab) mereka, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.”                                                                                                           (Surah an-Nur: Ayat 60)

    Mafhum muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini ialah jika perempuan tua yang telah terputus haid haram menampakkan perhiasan iaitu tabarruj, apatah lagi perempuan yang masih muda dan masih belum terputus haid serta berkeinginan untuk berumah tangga.





    Kesimpulan

    Sesungguhnya aurat wanita bukanlah hanya tudung semata-mata sebagai mana yang difahami oleh sebahagian umat Islam, sebaliknya apa yang paling penting ialah setiap muslimah mestilah memahami batasan aurat dalam hayaatul khassah (kehidupan khusus) dan hayaatul ‘am (kehidupan umum) menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita sama ada yang belum atau yang sudah putus haid. Menutup aurat mestilah didasari oleh iman dan taqwa untuk mengharapkan keredhaan Allah semata-mata bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian.

    Waallahu’alam….

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    HUKUM PENGGUGURAN JANIN DALAM ISLAM DAN KESANNYA MENGIKUT PERUBATAN ISLAM

    KERTAKERJA: 

    HUKUM PENGGUGURAN JANIN DALAM ISLAM DAN KESANNYA MENGIKUT PERUBATAN ISLAM
                                                Penulis: Ibn Hassan

                OBJEKTIF

                Tujuan dihasilkan kertas kerja ini adalah untuk memberi penerangan yang lebih jelas tentang hukum pengguguran janin mengikut syariat islam berdasarkan al-Quran, hadis dan perbahasan para ulama’ dari mazhab Hanafi, Syafie’ dan Hambali serta berdasarkan perbahasan dari para fuqaha’ dan perubatan. Diharapkan para pembaca jelas dengan hukum sebenar tentang pengguguran janin. Sesungguhnya dalam hal yang berkaitan agama ini, kita tidak boleh sebarangan mengeluarkan hukum kerana ditakuti akan menyebabkan hukum kita keluarkan itu bertentangan dengan hukum yang telah Allah swt tetapkan. Oleh sebab itulah, perlu diperbanyakkan lagi kajian seperti untuk kes-kes yang berlainan.

    PENGGUGURAN KANDUNGAN

                Hukum menggugurkan kandungan tidak disebut secara terus dari al-Quran dan hadis Nabi saw. Apa yang ditekankan ialah tentang haramnya membunuh nyawa dengan cara yang salah. Bermula di sinilah para fuqaha’ telah berbeza pendapat tentang hokum menggugurkan kandungan seperti yang dibincangkan pada masa kini.

    DEFINISI PENGGUGURAN JANIN

                Pengguguran janin ialah mengeluarkan kandungan dari Rahim sebelum tiba tempoh bersalin dengan bertujuan untuk membuang atau mematikan kandungan. Adapun dasar pembahasan ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya seseorang dari kamu dikumpulkan penciptaanya di dalam perut ibunya selama 40 hari. Setelah genap 40 hari kedua, terbentuklah segumpal darah beku. Ketika genap 40 hari ketiga, berubahlah menjadi segumpal daging. Kemudian Allah mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh, serta memerintahkan untuk menulis 4 perkara, iaitu penentuan rezeki, waktu kematian, amal, serta nasibnya baik yang celaka, mahupun yang bahagia.”
                                                                                                                            (Bukhari dan Muslim)




    HUKUM PENGGUGURAN JANIN

                Hukum pengguguran janin adalah mengikut status janin. Terdapat dua kategori janin iaitu janin sebelum peniupan roh dan janin selepas peniupan roh.

    1.      Pengguguran janin sebelum peniupan roh.

    Dalam hal ini, para ulama’ berselisih tentang hukumnya dan terbahagi kepada 3 pendapat:

    Pendapat pertama:

    Menggugurkan janin sebelum peniupan roh hukumnya boleh. Bahkan sebahagian ulama membolehkan menggugurkan janin tersebut dengan ubat.(Hasyiat al-Qalyubi: 3/159)  Pendapat ini dianut oleh para ulama dari mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hambali. Tetapi kebolehan ini disyaratkan dengan adanya izin dari kedua orang tuanya. (Syareh Fathul Qadir: 2/495 Adapun dalilnya adalah hadis Ibn Mas’ud di atas menunjukkan bahawa sebelum 4 bulan, roh belum ditiup ke janin dan penciptaan belum sempurna, serta dianggap benda yang tidak bernyawa sehingga boleh digugurkan.)




    Pendapat kedua:

    Menggugurkan janin sebelum peniupan roh adalah makruh hukumnya. Dan jika sampai pada waktu peniupan roh, maka hukumnya menjadi haram. Dalilnya bahawa waktu peniupan roh tidak diketahui bila akan berlaku secara pasti, maka tidak dibenarkan menggugurkan janin jika sudah mendekati waktu peniupan roh. Ianya bertujuan supaya kita berhati-hati. Pendapat ini dianut sebahagian ulama’ mazhab Hanafi dan imam Romli salah seorang ulama’ dari mazhab Syafi’e. (Hasyiyah Ibnu Abidin: 6/591, Nihayatul Muhtaj: 7/416)


    Pendapat ketiga:

    Menggugurkan janin sebelum peniupan roh hukumnya adalah haram. Dalilnya bahawa air mani telah tertanam dalam rahim dan telah bercampur dengan ovum wanita sehingga bersedia untuk dihidupkan. Maka dengan merosakkan pertumbuhan ini adalah tindakan jahat. Pendapat ini dianut oleh Ahmad Dardir, Imam Ghozali dan Ibn Jauzi. (Syareh Kabir: 2/267, Ihya Ulumudin: 2/53, Inshaf: 1/386)

    Status janin yang gugur sebelum ditiupkan roh telah dianggap benda mati dan tidak perlu dimandikan, dikafankan dan disolati. Sehingga dalam fasa ini dikatakan pembunuhan dan dianggap merosakkan sesuatu yang bermanfaat.


    2.      Menggugurkan janin setelah peniupan roh.

    Secara umum ulama’ telah sepakat bahawa menggugurkan janin setelah peniupan roh adalah haram. Peniupan roh terjadi ketika janin berusia 4 bulan dalam kandungan ibu. Ketentuan ini berdasarkan hadis Mas’ud di atas. Janin yang telah ditiupkan roh didalamnya secara automatik sudah menjadi manusia sehingga haram untuk dibunuh. Hukumnya haram apabila seseorang itu melakukannya tanpa sebab yang munasabah ataupun darurat.

    Tetapi jika terdapat sebab-sebab yang darurat, misalnya jika janin yang dikandung itu akan membahayakan ibu yang mengandung tersebut, maka dalam hal ini para ulama’ berbeza pendapat.

    Pendapat pertama: Ulama’ menyatakan pengguguran janin selepas peniupan roh tetap haram walaupun janin tersebut ketika lahir akan membahayakan ibu yang mengandungnya. Pendapat ini dianut oleh ulama’ Mayoritas. Dalilnya ialah dengan firman Allah swt:

    Ertinya: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar.”
                                                                                                    (Surah al-Israa’: ayat 33)

    Ulama’ ini mengatakan kematian seseorang ibu itu adalah sesuatu yang diragukan kematian. Maka dengan ini tidak boleh membunuh janin dengan sebab sesuatu yang diragukan (Hasyiyah Ibnu Abidin: 1/602).
    Selain itu, mereka dari golongan ulama’ ini memberi perumpamaan jika berlakunya sebuah perahu yang akan tenggelam dan penumpang lain akan selamat jika sebahagian dari mereka itu dilemparkan ke laut, walaupun ianya untuk menyelamatkan nyawa yang lain maka ia tetap tidak dibolehkan. *(diterjemah dari ayat yang asal agar tidak memberi sebarang kekeliruan)


    Pendapat kedua:

    Dibolehkan menggugurkan janin walaupun sudah berlakunya peniupan roh seandainya itu sahaja yang dapat menyelamatkan nyawa ibu yang mengandung. Hal ini kerana menyelamatkan nyawa ibu yang dikandung itu lebih utama dari menyelamatkan janin yang dikandung. Hal ini juga disebabkan kehidupan ibu adalah sesuatu yang tidak diragukan dan wujud dengan yakin, sedangkan kehidupan janin belum yakin dan keberadaanya terakhir (Mausu’ah Fiqhiyah: 2/57). Peramalan ibu dan janin itu boleh dilakukan dengan ilmu perubatan, walaupun hal itu tidak mutlak.


    Resolusi Fiqh (Bilakah Permulaan Hidup Seorang Manusia)

    1.      Permulaan hidup manusia berlaku sebaik sahaja persenyawaan benih lelaki dan perempuan terjadi.
    2.      Sebaik sahaja terbentuk kandungan dalam rahim perempuan, maka kandungan itu wajib dihormati dan mempunyai hak-hak yang ditetapkan oleh syarak.
    3.      Apabila kandungan sampai ke peringkat peniupan roh, kehormatan kandungan bertambah tinggi.

    Garis panduan pengguguran janin

    Para fuqaha’ telah menetapkan beberapa garis panduan bagi membolehkan pengguguran janin akibat dirogol. Antara garis panduannya ialah:

    Ø  Pengguguran dilakukan sebaik sahaja kehamilan dikesan.
    Ø  Janin berusia kurang daripada 120 hari.
    Ø  Teknik penggugguran tidak memudharatkan si ibu.
    Ø  Permohonan si ibu daripada jabatan rasmi yang bertanggungjawab berkenaan kes rogol bagi memastikan jenayah rogol tersebut benar-benar berlaku, memastikan keberkesanan teknik pengguguran dan menjejak si penjenayah.
    Ø  Hanya hospital-hospital tertentu sahaja yang dibenarkan menjalankan proses pengguguran kandungan.
    Ø  Alasan untuk menggugurkan kandungan itu hendaklah diteliti oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar perubatan dan fiqh.




    Hukum menggugurkan janin kerana berzina

    Para fuqaha’ telah berbeza pendapat berkenaan masalah di atas kepada dua pendapat.
    Pendapat pertama:
    Tidak mengharuskan pengguguran akibat zina bertujuan menutup pintu perzinaan dan juga berdasarkan hadis nabi S.A.W berkenaan al-Ghamidiyyah.
    Pendapat kedua:
    Harus digugurkan kandungan tersebut dengan alasan untuk mengelakkan berlaku kekeliruan dalam keturunan.

    Konklusi

    Sebagai masyarakat yang menetap di Malaysia, kita dinasihat supaya menjadikan pendapat dari mazhab Syafi’e sebagai panduan. Ini kerana, ramai umat Islam yang menganut mazhab Syafi’e.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS