ISLAM BERDASARKAN DUNIA SEMASA
DEFINISI, HUKUM DAN PERMASALAHAN AURAT DALAM ISLAM BERDASARKAN DUNIA SEMASA
ISLAM BERDASARKAN DUNIA SEMASA
HUKUM PENGGUGURAN JANIN DALAM ISLAM DAN KESANNYA MENGIKUT PERUBATAN ISLAM
pesanan rasulullah untuk wanita
Mani, Najis atau Tidak?
Hadith :
Dari Amar bin Maimun r.a katanya:”Aku bertanya kepada Sulaiman bin Yasar perihal mani apabila mengenai pakaian seseorang; apakah cukup dengan membersihkan yang terkena mani itu sahaja ataukah harus mencuci kain itu seluruhnya?” Jawabnya:”Aisyah pernah mengkhabarkan kepadaku bahawa Rasulullah SAW hanya membersihkan bahagian yang kena mani itu sahaja; kemudian beliau pergi solat dengan memakai kain itu. Aku memang melihat bekas cucian di kain itu.”
Huraian
Mengikut pendapat asy-Syafi’eyyah, pakaian yang terkena air mani boleh digunakan untuk menunaikan solat kerana air mani tidak dikira najis. Namun pandangan asy-Syafi’eyyah juga menyebut bahawa disunatkan membasuh pakaian yang terkena air mani sekiranya air mani itu telah kering pada pakaian. (Ibn Qudamah, Mugni al-Muhtaj, jld:1, hlm:79-80) Dr. Wahbah al-Zuhailiy berpendapat, air mani tidak boleh dikategorikan sebagai najis. Ini kerana manusia dijadikan daripadanya dan sebagai memudahkan urusan anak adam. (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, Fiqh al-Islamiy, jld:1,hlm:164).
Isteri Jangan Tolak Permintaan Suami untuk 'bersama'
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya:”Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur, tetapi tidak diendahkan oleh isterinya, lalu malam itu suaminya marah kepadanya maka isteri itu mendapat kutukan malaikat sehingga Subuh.”
Huraian
Hakikatnya memang benar bahawa wanita itu bukan simbol seks dan tempat pemuas nafsu si suami hingga di Barat, wujud undang-undang yang disebut marital rape (suami merogol isteri). Namun dari satu sudut lelaki memang perlu bertolak ansur. Jika isteri penat, datang haid, baru bersalin dan sebab-sebab lain yang dibenarkan oleh Islam, memanglah tidak patut bagi si suami memaksa isteri melayan kehendaknya. Tetapi jika tidak ada sebarang sebab untuk menolak, jika diminta oleh suami maka si isteri wajib memenuhinya. Permasalahan ada ‘mood’ atau tidak, ia perlu dirujuk pada yang pakar bagaimana mahu mewujudkan mood tersebut tetapi janganlah sampai melanggar batas-batas syarak.
Perkara Yang Mula-Mula Diadili
Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Perkara yang mula-mula diadili antara umat manusia kelak di hari kiamat ialah perkara penumpahan darah (pembunuhan)”
Huraian
Dosa biasanya dikaitkan dengan perintah atau larangan. ertinya, tidak melaksanakan apa yang diperintahkan adalah berdosa dan melakukan apa yang dilarang juga adalah berdosa. Itulah sebabnya mengapa jika tidak melakukan solat, puasa, membayar zakat dan sebagainya diklasifikasikan sebagai dosa sama seperti perbuatan berzina, berbohong atau membunuh diri dan membunuh orang lain juga adalah berdosa. Perbuatan membunuh contohnya amat dilarang keras oleh Islam kerana manusia itu dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi kebanyakan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Firman Allah S.W.T: "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (Al-Israa: 70) Orang mukmin tidak boleh membunuh tanpa alasan yang haq dan sesiapa yang telah melakukan perbuatan itu dengan sengaja hendaklah segera bertaubat kerana dosa pembunuhan tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah S.W.T di hari akhirat kelak kecuali mendapat keampunan daripada Allah kerana hukum Allah akan benar-benar berlaku, iaitu jika tidak mendapat keadilan (pembalasan) di dunia, azab yang menyiksa bakal menunggu di akhirat nanti.
Wanita Solat di Belakang Lelaki
Hadith: Abu Naim mennyampaikan kepada kami katanya, Ibnu ‘Uyainah menyampaikan kepada kami, daripada Ishaq katanya:”Nabi s.a.w solat di rumah Ummu Sulaim lalu berdiri dan seorang anak yatim di belakang baginda dan Ummu Sulaim di belakang kami.”
Huraian
Allah telah menetapkan kedudukan perempuan adalah di belakang lelaki
sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisaa', ayat 34 yang bermaksud :
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah
melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka
telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Sebab itu wanita
solehah ialah yang taat kepada Allah dan memelihara diri ketika ketiadaan
suami sebagaimana yang Allah tetapkan." Sembahyang dalam Islam membabitkan perbuatan pelbagai pergerakan zahir dan batin. Ia tidak mengandungi semata-mata upacara keagamaan serta tidak bercampur aduk antara lelaki dan wanita. Islam menggariskan beberapa peraturan untuk menentukan umatnya beribadah kepada Allah S.W.T secara tertib dan beradab bagi mencapai kekhusyukan dalam menunaikan ibadah kepada Allah. Dalam peraturan menunaikan sembahyang berjemaah lelaki dan perempuan, Rasulullah bersabda: 'Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama.' (Riwayat Muslim). Bila shaf terisi penuh, maka mulailah dengan shaf yang baru dari arah sebelah kanan. Bila yang terbelakang hanya seorang diri, maka usahakanlah ia dapat masuk shaf yang sudah ada; atau tariklah seorang anggota shaf yang ada untuk menemaninya (yang ditarik pasti mahu, andaikan ia mengerti tata tertibnya).
Tipu Allah kerana nak qasar solat
Ahmad Baei Jaafar
Solat jamak dan qasar merupakan kelonggaran yang diberikan oleh Allah khusus untuk umat-Nya yang bermusafir. Solat empat rakaat boleh dipendekkan menjadi dua rakaat dan dua waktu solat boleh dilakukan dalam satu waktu. Kelonggaran ini bagi memudahkan orang yang musafir bergerak lancar ke destinasi tanpa berhenti sebanyak lima kali untuk solat.
Tetapi terdapat dalam kalangan umat Islam yang menyalahgunakan kelonggaran itu semata-mata untuk membolehkan mereka solat jamak dan qasar. Padahal syarat untuk membolehkan dia berbuat begitu belum cukup. Musafir yang dirancang tidak menepati kehendak syariat.
Apakah syarat musafir?
1. Ada destinasi yang ditetapkan.
2. Destinasi itu jauh melebihi dua marhalah iaitu lebih kurang 89 kilometer
3. Musafir itu untuk tujuan yang diharuskan.
Berdasarkan syarat tersebut bolehlah diandaikan seperti berikut, saya tinggal di Bandar Baru Bangi ingin ke Kuala Pilah untuk menziarahi keluarga. Okey, destinasi yang ditetapkan ialah Kuala Pilah. Jauh destinasi itu dari Bandar Baru Bangi ialah 91 kilometer. Dan tujuan ke Kuala Pilah adalah untuk ziarah keluarga.
Jelas di sini, ketiga-tiga syarat di atas telah dipenuhi. Oleh sebab itu, saya boleh melakukan solat qasar dan jamak dalam tempoh perjalanan itu pergi dan balik. Walau bagaimanapun kalau tujuan musafir itu untuk merompak atau untuk menyaksi pertandingan bola sepak yang di dalamnya ada perkara yang diharamkan maka tidaklah harus solat jamak dan qasar.
Dalam andaian lain, saya ingin ke Kuala Lumpur tetapi saya tidak melalui jalan biasa sebaliknya saya bergerak dari Bandar Baru Bangi menuju ke Banting, seterusnya ke Kelang, Sungai Buloh dan dari situ baru sampai ke Kuala Lumpur. Tujuan ke Kuala Lumpur adalah untuk bertemu kawan seperjuangan namun tujuan saya memilih jalan yang jauh itu adalah untuk membolehkan solat jamak dan qasar.
Melihat kepada destinasi itu, tentulah tidak melayakkan saya melakukan qasar dan jamak kerana jarak perjalanan hanya 40 kilometer. Tetapi dengan perjalanan seperti di atas, jarak ke Kuala Lumpur sudah menjadi jauh, melabihi 89 kilometer. Persoalannya bolehkah dilakukan solat jamak dan qasar dalam keadaan itu?
Tujuan perjalanan jauh itu adalah fasid, perjalanan ke tempat di atas bukan dengan tujuan yang diharuskan. Perjalanan jauh itu hanya untuk membolehkah sah solat jamak dan qasar adalah tidak syar’i. Mereka yang bertindak seperti ini hakikat mahu menipu Allah. Mereka beranggapan Allah tidak tahu niat jahat mereka.
Umat Islam yang beriman dan bertakwa tidak seharusnya menipu Allah seperti itu. Sebaliknya mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam soal ibadah. Ingatlah ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka perbanyakkan ibadah, dan jauhi dosa.
Oleh sebab itu mereka harus menghentikan musafir seperti itu dan kembalikan kepada Allah dengan melakukan solat lima waktu dengan sempurna. Tunaikan solat Jumaat seperti orang lain kerana khutbahnya boleh memberi ilmu kepada kita





