RSS

Mengurat dan Bercinta dalam Islam? Apakah hukumnya?




Mengurat dan bercinta dalam Islam? Apakah hukumnya?

Inilah yang selalu menjadi punca kepada kekeliruan pada setiap remaja yang mula belajar mengenal apa itu erti cinta. Mesti ramai yang tertanya-tanya adakah bercinta itu haram? Apakah hukumnya mengurat? Dan apakah perbezaan antara bercinta dan “couple”? Di sini hendaklah ditegaskan bahawa cinta dan “couple” itu adalah berbeza sama sekali dan tidak ada yang menyamakan sifat-sifat antara dua elemen ini.

            Adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap remaja yang bercinta dengan melalui proses mengurat, sama ada lelaki mengurat perempuan atau perempuan mengurat lelaki. Proses ini telah menjadi sesuatu yang lazim dalam kehidupan remaja. Seakan-akan sudah sebati dengan amalan seharian. Jika kita lihat dari pelbagai sudut, ramai remaja yang menyalahertikan apa itu mengurat sehingga kita dapat lihat punca kepada rosaknya akhlak remaja bermula dari mengurat. Salah tanggapan dan salah fahaman terhadap persoalan ini boleh menyebabkan konflik dalam diri remaja muslim.

            Secara kasarnya ada sesetengah ulama menganggap mengurat dan cinta itu halal tetapi kebanyakan ulama yang lain pula menganggap haram. Bagaimanapun di kalangan ulama fekah terdapat beberapa orang ulama yang merupakan pencinta yang hebat seperti Daud az-Zahiri yang merupakan imam Mazhab az-Zahiri.

            Sebenarnya mengurat adalah satu perkara yang penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Ini kerana mengurat adalah mukadimah kepada percintaan, percintaan adalah mukadimah kepada perkahwinan, perkahwinan adalah mukadimah kepada penubuhan sesebuah keluarga, dan keluarga adalah mukadimah kepada terbinanya sebuah negara. Di sini jelas menunjukkan mengurat bukanlah sesuatu yang haram. Tidakkah dalam konteks ini mengurat dan bercinta tepat dengan ajaran Islam? Mengurat dan bercinta dianggap berguna jika ia membawa kepada kebaikan.

            Tetapi mengurat dan bercinta dianggap tidak berguna jika ia membawa kepada keburukan dan menjadi punca kepada suatu penzinaan. Mengurat dan bercinta seperti ini tidak menjadi mukadimah kepada sesebuah keluarga, bahkan menjadi mukadimah kepada lahirnya anak luar nikah atau mencampakkan anak dalam longkang dan tong sampah. Mengurat dan bercinta seperti ini dilarang dalam Islam.
           


Selain itu ingin diingatkan bahawa pada hari ini mengurat dan bercinta itu semua berpunca daripada perasaan emosi dan juga nafsu. Kebiasaannya, tindakan seseorang mengurat dan bercinta itu sebenarnya bertitik tolak dengan perasaan dan emosi, maka dengan itu mudah sekali untuk mereka melakukan perkara-perkara yang terlarang mahupun dengan kesanggupan kedua-dua belah pihak ataupun tidak. Oleh itu, kepada sesiapa yang telah terlibat dengan anjakan perasaan dan emosi ini harus pandai menggunakan kewarasan akal agar segala batasan dapat dikawal dan tidak melanggar hukum syarak.

Bagi mengelakkan daripada perkara terkutuk ini berlaku, panduan Rasulullah SAW harus dipatuhi. Baginda melarang orang Islam supaya jangan berlebihan dalam mengurat dan bercinta. Malah Baginda menyuruh mereka supaya bercinta kerana Allah iaitu mencintai orang yang dikasihi kerana Allah.

Terdapat beberapa riwayat menceritakan Nabi Muhammad SAW membenarkan hamba menyanyikan lagu mengurat yang dipanggil sebagai ghazl. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Rasulullah SAW menyuruh Aisyah menghantar seorang yang pandai menyanyikan lagu ghazl kepada pengantin kaum Ansar yang menjadi kerabat Aisyah. Ini kerana menurut Nabi, kaum Ansar ada keramaian termasuk mendendangkan lagu-lagu ghazl. Baginda berkata: “Sesungguhnya kaum Ansar adalah kaum yang ada pada mereka ghazl. (Ibnu Majah: Hadis No 1890)

Ghazl bermaksud mengurat dan ada beberapa hadis nabi ghazl bermaksud mendendangkan lagu-lagu cinta yang sunyi daripada kata-kata baik dan sebagainya. Dalam bahasa Arab, ghazl bermaksud ‘lagu dan puisi kasih’. Perkataan arab, ‘Ghaz’ yang membawa maksud nyanyian yang ditujukan kepada wanita. Dari segi bahasa pula bermaksud mainan cinta, ungkapan-ungkapan cinta dan ucapan-ucapan yang diluahkan kepada wanita atau berkata-kata dengan wanita. Ghazl juga dikenali sebagai satu bentuk puisi nasyid iaitu puisi-puisi yang memaparkan kisah percintaan penyair dengan kekasihnya.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, muslim dan lain-lain, Rasulullah mengingatkan supaya seorang penyanyi kerabat baginda bernama Anjasyah supaya tidak berlebih-lebihan dalam mendendangkan lagu-lagu yang berkaitan dengan mengurat dan cinta.

Islam adalah agama yang membawa matlamat cinta. Cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, cinta kepada negara, cinta kepada kedua ibu-bapa, cinta kepada keluarga dan cinta kepada hambaNya. Sebab itulah Rasulullah SAW menekankan soal mendidik anak-anak daripada kecil lagi diterapkan soal cinta. Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda: “Tanamkan dalam diri anak-anak kamu cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan ahli keluarga Rasulullah dan cintakan membaca al-Quran.”

Ini menunjukkan cinta itu suatu yang penting diterapkan dalam diri setiap muslim sehinggakan Nabi SAW bersabda tidak akan masuk syurga sehingga kamu belajar cinta-mencintai di antara satu sama lain.

Remaja bercinta jelas beliau tidak melanggar fitrah. Ia satu fitrah tetapi perlu diaturkan bagaimana mereka bercinta. Cinta tidak boleh berdasarkan emosi semata-mata, remaja mesti ada tanggungjawab. Remaja mestilah pandai membezakan antara bercinta dan ‘couple’. Seorang remaja yang bertanggungjawab haruslah mencari sesuatu yang diredhai Allah bukan dengan melakukan perkara yang dilarang dalam Islam.



(InsyaAllah, dalam risalah yang akan datang akan diterangkan apakah hukum couple yang sebenar dan apakah perbezaan ciri-ciri cinta dan ‘couple’. Dengan lafaz bismillah, tamatlah penerangan tentang mengurat dan bercinta serta hukumnya dalam Islam)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment